Fenomena kenaikan dalam tingkat harga umum barangan dan perkhidmatan dalam sesebuah ekonomi dari semasa ke semasa dinamakan sebagai inflasi. Kesannya, setiap unit matawang cuma dapat membeli barangan dan perkhidmatan dalam jumlah yang kurang daripada sebelumnya.
Dalam bahasa mudahnya, inflasi mencerminkan penurunan dalam kuasa beli wang fiat dalam sesebuah ekonomi. Sebagai contoh, pada tahun 2000 kita memerlukan hanya RM1 untuk 5 biji kuih karipap. Tetapi, pada hari ini (tahun 2012) kita memerlukan RM2 untuk 5 biji kuih yang sama fungsi dan tahap utilitinya (tahap kepuasan).
Apa pula wang fiat?
Wang fiat adalah wang zaman moden yang direka oleh pihak berkuasa pusat (kerajaan) dan tidak mempunyai (malahan tidak mementingkan) nilai intrinsik. Sebaliknya, wang komoditi seperti emas dan perak memiliki nilai intrinsik iaitu nilainya tetap kekal walau pun inflasi. Wang fiat diiktiraf secara meluas kerana kerajaan pusat bertindak sebagai penjamin nilai wang yang sah diperlakukan di sisi undang-undang sebagai bayaran untuk cukai dan lain-lain.
Inflasi rendah, sederhana dan tinggi
Kembali pada inflasi, terdapat 3 jenis kadar inflasi. Kadar inflasi yang rendah atau sederhana disumbang oleh turun naik permintaan sebenar barangan dan perkhidmatan, atau perubahan dalam bekalan (seperti semasa kekurangan sumber pengeluaran) dan juga pertumbuhan dalam bekalan wang. Lebih hebat lagi, pakar ekonomi bersetuju bahawa hiperinflasi (kadar inflasi yang tinggi) disebabkan oleh pertumbuhan tinggi bekalan wang sama ada melalui percetakan wang atau penciptaan wang secara elektronik tanpa bersandarkan pada komoditi bernilai intrinsik seperti emas dan perak.
Kaitan inflasi dan kegagalan wang fiat
Ironinya, majoriti pakar ekonomi bersetuju tempoh inflasi yang berterusan akibat daripada kadar pertumbuhan bekalan wang adalah lebih pantas daripada pertumbuhan produktiviti dalam sesebuah ekonomi.
Apabila wang fiat sentiasa diisukan (bekalan wang ditambah), inflasi akan berlaku dan nilai wang fiat akan dimamah inflasi. Lebih teruk lagi apabila kerajaan yang tidak bertanggungjawab menambah bekalan wang secara berleluasa tidak seiring dengan perkembangan dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan, hiperinflasi boleh berlaku. Inilah kegagalan besar wang fiat sebagai penyimpan nilai yang dipengaruhi kesan inflasi.
Sejarah kegagalan wang fiat dalam tamadun manusia
- Germany Weimer Republic (Tahun 1922 hingga 1923)
- Hungary (1945 hingga 1946)
- Chile (1971 hingga 1981)
- Argentina (1975 hingga 1992)
- Peru (1988 hingga 1991)
- Angola (1991 hingga 1999)
- Yugoslavia (1992 hingga 1995)
- Belarus (1994 hingga 2002)
- Zimbabwe (2000 hingga kini)
Kesan hiperinflasi di Zimbabwe bukti kegagalan wang fiat |
Untuk tahu lebih lanjut kisah kegagalan wang fiat ini, anda boleh baca di link ini: http://www.mint.com/blog/trends/hyperinflation-the-story-of-9-failed-currencies/Satu lagi kelemahan wang fiat adalah ia bergantung kepada sistem undang-undang kerajaan yang mengeluarkannya. Seandainya kerajaan tersebut jatuh, mata wang yang bergantung padanya akan turut jatuh. Atau dalam kata lain, nota kertas tersebut tidak lagi bernilai. Contoh yang sangat dekat dengan kita adalah sejarah nota pokok pisang zaman jajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942 hingga 1945. Kami akan ceritakan sejarah ini dalam posting yang lain. Insya Allah.
No comments:
Post a Comment