Kenapa Simpan Emas?

Orang yang bijak dan celik emas, pasti akan menyimpan emas fizikal sebagai salah satu aset yang mesti ada. Pentingnya menukarkan pendapatan kepada harta yang sangat berharga (precious metal) ini kerana...

1.  Emas adalah kekayaan yang sebenar.
Kembali ke zaman sejak manusia mengenali emas. Waktu itu logam ini menjadi lambang kekayaan dan kekuasaan. Sejarah penggunaan emas sebagai wang boleh dilihat 60 abad yang lalu, tatkala orang Mesir menggunakan jongkong emas yang dicop nama Firaun Menes sebagai medium pertukaran.

Emas telah mendapat tempat di hati manusia kerana kehebatan sifat fizikalnya termasuklah warna kekuningan yang berkilau dan takkan pudar, boleh ditempa kepada pelbagai rupa dan bentuk, boleh dibahagikan kepada unit-unit kecil, sukar diperoleh dan yang paling penting sekali tidak boleh dibinasakan.
Emas memiliki nilai intrinsik, tetap bernilai walau pun dalam bentuk debu.
Apa yang kami nak tekankan di sini, sesuatu objek yang benar-benar sesuai dijadikan penyimpan nilai sepatutnya memiliki nilai intrinsik dan bersifat tidak boleh dibinasakan. Rasanya semua orang tahu bahawa wang kertas hanya memiliki nilai muka (bukan nilai intrinsik) dan jika ia terbakar atau dicarik-carik, ia tidak lagi bernilai.

2.  Kuasa beli emas kekal sepanjang zaman.
Apa yang emas boleh beli pada 14 abad yang dulu masih tetap mampu ditukarkan dengan nilai barang yang sama pada masa kini. Sebagai contoh, harga kambing dewasa yang berkualiti tinggi pada hari ini mempunyai nilai purata RM750 seekor dan nilai 1 Dinar 999.9 pada hari ini juga bernilai RM750. Ada pun pada zaman Rasulullah s.a.w., sekeping syiling emas 1 Dinar 999.9 boleh membeli seekor kambing dengan kualiti yang sama.
Hari ini, dengan 1 Dinar 24K masih boleh membeli seekor kambing dewasa.
Maka, layaklah logam ini dilabelkan sebagai penyimpan nilai yang sangat hebat.

3.  Kuasa beli wang fiat menyusut dalam jangka masa panjang.
Kemampuan beli wang kertas 20 tahun yang dulu tidak sama dengan kuasa belinya pada hari ini. Bandingkan saja sekeping RM2 pada awal tahun 90an mampu ditukarkan dengan 10 biji kuih sedangkan pada hari ini ia hanya bernilai 5 biji kuih. Dengan kata lain, hari ini kita terpaksa membayar lebih nota wang ringgit untuk membeli barang yang sama kualitinya pada suatu waktu dahulu.
Hari ini dengan RM2 hanya dapat 5 biji kuih sahaja.
Kenapa ini terjadi?

Kuasa beli wang kertas menyusut dalam jangka masa panjang akibat kesan inflasi. Umumnya, inflasi boleh didefinisikan sebagai suatu kenaikan dalam tingkat harga umum barangan dan perkhidmatan dalam sesebuah ekonomi dari semasa ke semasa.

4.  Emas adalah aset terunggul.
Satu lagi keistimewaan emas adalah kelebihannya sebagai aset mudah cair dan memiliki permintaan yang sangat tinggi. Emas bernilai di mana sahaja.

Emas boleh ditukarkan kepada tunai dengan mudah bila kita menggunakan kemudahan pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) seperti yang disediakan oleh bank Agrobank, Bank Rakyat, Yapeim dan banyak lagi. Atau pun, kita boleh 'let go' sebahagian simpanan emas kita kepada pembeli emas untuk mendapatkan tunai sebagai kecemasan atau sebab-sebab keperluan tertentu.
Emas milik anda boleh dicagar untuk mendapatkan tunai segera.
Selain itu, satu contoh terbaik adalah kes pelarian Perang Vietnam yang mana ribuan pelarian ini telah menukarkan harta tanah dan segala aset yang lain kepada emas sebelum meninggalkan kampung halaman mereka. Emas diterima di mana-mana sahaja. Disebabkan hal ini, mereka dapat memulakan hidup baru dengan mudah di negara persinggahan mereka. Bayangkan jika mereka membawa wang kertas Vietnam (yang sudah tidak laku). Apakah yang akan berlaku?

Keunggulan emas ini tidak terdapat pada wang fiat atau mana-mana matawang di dunia.

5.  Emas tidak boleh dimanipulasikan.
Ya, emas sukar diperoleh dan tidak boleh dicipta melainkan ia adalah anugerah Allah Yang Maha Pencipta. Kuantiti emas tidak boleh ditambah dengan mudah sebagaimana wang kertas dicetak sewenang-wenangnya oleh pihak kerajaan. Logam yang bernilai intrinsik ini perlu melalui proses yang sukar iaitu cari gali, perlombongan, penulenan dan penempaan yang memakan masa dan tenaga yang banyak.

Berbeza dengan wang fiat, apabila kerajaan yang tidak bertanggungjawab mencetak wang kertas dalam kuantiti yang banyak (penawaran wang bertambah) menyebabkan nilai wang kertas tersebut menyusut. Penggunaan wang fiat membolehkan kerajaan menguasai dan memanipulasi kekayaan negara.

Kerajaan berkuasa menggunakan akta-akta tertentu bagi mengiktiraf sesuatu nota wang kertas atau syiling yang dicetak sebagai wang sah laku. Kerajaan juga berkuasa menarik balik pengiktirafan tersebut sehingga menyebabkan wang tersebut tidak lagi sah laku.
Syiling Seringgit. Suatu waktu dulu ia sah laku untuk urusniaga.
Emas pula sentiasa bernilai. Tidak ada mana-mana individu atau organisasi yang boleh memanipulasikan nilai emas sebagaimana wang fiat yang telah banyak kali mengalami kegagalan dalam sejarah tamadun manusia.

-----
Tidak pernah berlaku kegagalan emas sebagai wang di sepanjang sejarah ketamadunan manusia. Malah, sejarah telah membuktikan bahawa kesemua tamadun terkemuka dunia seperti Yunani, Rom dan Parsi menggunakan emas dan perak sebagai wang. Ya, tidak lupa juga zaman Rasulullah dan para sahabat Khalifah Ar-Rasyidin yang turut menggunakan emas dan perak sebagai medium pertukaran nilai yang unggul.

Mungkin posting ini penjelasannya masih kabur kerana niat kami untuk meringkaskannya sebagai bacaan umum. Untuk penjelasan yang lebih, sila ikuti posting kami yang berikutnya.


No comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.